Sunday, April 6, 2008

TENTANG 'BILANGAN WANITA'

Sebagai perempuan, kita mahu berjalan bersama-sama dengan lelaki. Kita tidak mahu berjalan di belakang mereka. Kita juga tidak mahu berjalan di hadapan mereka.

Perjuangan ini bukan lah untuk bersaing dengan lelaki seperti mana anggapan sesetengah perempuan. Memang ada perempuan yang mahu buat apa sahaja yang lelaki buat sekalipun hal itu bertentangan dengan fitrah mereka. Semasa di kampus dahulu, ada seorang rakan dari jurusan Kejuruteraan Mekanikal bercita-cita besar mahu menjadi jurutera luar pesisir (Offshore)! Dia yang mendapat temuduga sebelah petang meminta untuk menyertai kumpulan temuduga saya pada sebelah pagi. Temuduga itu dijalankan secara berkumpulan kerana pihak Petronas mahu melihat bagaimana kami berdebat tentang sesuatu isu. Satu soalan dilontarkan dan setiap seorang diminta meluahkan pandangan. Selepas temuduga, kawan saya itu pun cepat-cepat meluahkan hasratnya. Pegawai temuduga itu menjawab dengan selamba, "Maaf, kami tidak ambil perempuan." Saya 'tersenyum' dalam hati kerana hendak menjaga hati kawan. Sekarang, saya mendapat maklum balas dari suami yang pernah membuat liputan media di pelantar minyak Petronas. Katanya, keadaan, cara hidup dan cara kerja di situ memang tidak sesuai untuk perempuan.

Ya, memang ada yang sanggup menzalimi diri termasuk menzalimi suami dan anak-anak kerana mahu menunjuk-nunjuk kejayaan dalam bidang-bidang yang wanita ketinggalan. Mereka mahu menambah bilangan wanita dalam bidang itu dan dalam bidang ini. Kalau mereka mampu, teruskan. Kalau tidak mampu, biarkan sahaja. Bukan kah lelaki dan perempuan diciptakan untuk saling melengkapi? Ini bermakna, apa-apa bidang yang perempuan lemah, biarkan lelaki melakukannya. Apa-apa bidang yang lelaki lemah, beri lah kepada perempuan untuk menyempurnakannya. Asalkan hasil kerja itu dapat memberi manafaat kepada masyarakat, tidak kisah samada lelaki atau perempuan yang melakukannya. Apa yang penting ialah kesan kerja itu kepada ummah, bukan siapa yang melakukan kerja itu.


Mengenai bilangan wanita yang masih kurang dalam beberapa bidang tertentu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz sedikit pun tidak menghiraukannya. Beliau tidak berhasrat untuk mengukur pencapaian wanita berdasarkan jumlah penyertaan dalam satu-satu perkara.

"Numbers to me do not matter. What's important is the quality of women," katanya dalam wawancara dengan Kolumnis Aishah Ali, dalam majalah Madam Chair.

Sebagai wartawan, saya tahu sangat 'pantang larang' Datuk Seri Rafidah Aziz. Jangan tanya kepadanya, "Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagi masa antara kerjaya dan rumahtangga?" Dia tidak suka. Berkemungkinan besar beliau akan naik angin lalu menempelak dengan kata-kata,"kenapa kamu tidak tanya soalan ini kepada bos lelaki?"

Datuk Seri Rafidah adalah antara tokoh wanita yang tidak suka bercakap tentang isu gender. Mungkin itu sebabnya kenapa beliau boleh 'survived' dalam politik - satu bidang yang ganas, diwarnai pelbagai sepak terajang, pembelotan dan di mana-mana pun akan tetap dianggap sebagai 'bidang lelaki'.

No comments: