Sunday, April 6, 2008

KELEMAHAN ADALAH KEKUATAN

Fakta terkini menunjukkan jumlah tenaga kerja perempuan dan lelaki di Malaysia adalah 50-50 dalam semua bidang kecuali Sains & Teknologi (S&T) dan kepimpinan organisasi. Tenaga kerja perempuan samada profesional dan bukan profesional masih lagi ketinggalan dalam bidang S&T. Dalam tampuk kepimpinan organisasi swasta, perempuan hanya mewakili 12 peratus, dalam organisasi awam 10 peratus manakala dalam politik, hanya enam peratus.

Dalam sesi penilaian lima tahun Deklarasi Beijing di New York (Beijing +5) pada 2000, Menteri Wanita pada masa itu, Datuk Shahrizat Jalil mengakui penyertaan perempuan kita dalam bidang S&T masih ketinggalan. Bagaimanapun, ini bukan satu masalah kerana ‘trend’ di seluruh dunia juga sama seperti ini.

Saya sempat mewawancara beberapa perempuan yang berjawatan tinggi dalam bidang S&T. Sesetengahnya sudah mencapai tahap Timbalan Pengarah organisasi awam, Timbalan Dekan pusat pengajian tinggi atau Naib Presiden organisasi swasta. Mereka mengakui nature of job dalam bidang S&T agak berlawanan dengan fitrah kaum perempuan. Menurut mereka, kemunduran wanita dalam bidang ini bukan berpunca daripada diskriminasi oleh lelaki, sebaliknya sifat semulajadi atau tabii seorang wanita itu lah yang dengan sendirinya menjadi penghalang.

Akibat fitrah itu, mungkin kah sampai bila-bila pun perempuan akan mundur dalam S&T? Jika benar, usah dikesali kelemahan ini. Mungkin ada hikmahnya. Mungkin juga yang lemah itu merupakan satu kekuatan yang tersembunyi. Ia sama seperti air mata perempuan – satu senjata paling berkesan. Orang perempuan, kalau tidak pandai menangis, memang rugi. Bagi yang belum pernah menggunakan senjata ini, mulai hari ini, cuba lah buat-buat menangis di depan lelaki dan lihat lah apa kesannya!

Justeru, sekiranya masih mahu mengangkat martabat wanita dalam S&T, slogannya perlu berbunyi begini, "Wanita Mengikuti Fitrah, Bukan Menentang Fitrah."

No comments: