Sunday, April 6, 2008

SUARA MUSLIMAH ABAD KE-6

Islam tidak gender-bias. Islam tidak pernah mengenepikan hak wanita untuk bersuara. Sejarah menyaksikan ramai wanita Islam bangkit bersuara di hadapan nabi Muhammad.

Bantahan Khaulah Binti Tsa’labah terhadap suaminya, Aus Bin Shamit menyebabkan turunnya hukum zihar. Ia dibuat melalui Surah al-Mujaadilah yang bermaksud ‘perbantahan’. Di saat hukum zihar belum ada pada waktu itu, Khaulah berulang kali mendesak Rasulullah menetapkan satu keputusan tentang kata-kata suaminya itu.

Asma’ Binti Abu Bakar mewakili wanita pada abad ke-6 untuk menyuarakan rasa tidak puas hati. Mereka cemburu (cemburu yang baik!) melihat lelaki keluar berperang, berdakwah, menunaikan haji, mengimarahkan masjid, menziarahi orang sakit dan sebagainya. Sedangkan mereka terpaksa menguruskan rumahtangga dan anak-anak.Nabi Muhammad meyakinkan Asma’ bahawa tugas menjaga rumahtangga adalah satu ibadah yang sama nilainya dengan apa jua ibadah di luar rumah.

Seorang isteri mengadu tentang suami yang kedekut. Nabi Muhammad menyarankan dia mengambil wang suami tanpa perlu meminta izin. Wanita itu tidak dikira sebagai mencuri kerana dia memang berhak ke atas wang itu.

Pada waktu pemnerintahan Umar al-Khatab, beliau pernah menyarankan agar mas kahwin perempuan diturunkan. Namun, menarik balik cadangan itu apabila dibantah oleh kaum wanita.

Apa pun, suara-suara itu bukan lah suara mencabar lelaki. Sebaliknya untuk mencari redha Ilahi dan menegur sikap lelaki yang tidak dipersetujui. Menegur sikap lelaki tidak sama dengan mencabar lelaki. Ini lah yang membezakan antara suara Muslimah sejati dengan suara Muslimah yang beracuankan feminisme barat.

Feminisme yang berasal dari ketamadunan barat iaitu Rom itu sebenarnya tidak wujud dalam Islam. Turunnya agama Islam adalah bersama-sama dengan hak, kebebasan dan persamaan. Muslimah tidak perlu menuntut hak, kebebasan dan persamaan kerana ketiga-tiga aspek itu sudah terjamin seratus peratus. Hanya apabila hak itu tidak ditunaikan, baru lah Muslimah perlu menuntutnya.

No comments: