Sunday, April 6, 2008

POLIGAMI - SUARA MUSLIMAH ABAD KE-21

Nabi Muhammad merupakan lelaki akhir zaman yang pertama memperkasa wanita. Banyak yang dilakukannya untuk mempastikan nasib perempuan terjaga. Satu daripadanya, poligami. Saya menyentuh topik ini kerana ia adalah topik yang paling disalahfahami. Bukan sahaja orang bukan Islam, malah orang Islam sendiri tidak memahaminya.

Allah memang menciptakan lelaki dengan sifat poligami. Ini bermakna, sudah menjadi sifat semulajadi lelaki untuk menyukai, mencintai dan menyayangi lebih dari seorang perempuan dalam satu-satu masa. Sekarang, baik lelaki Islam mahupun bukan Islam, ramai yang mempunyai teman wanita atau perempuan simpanan selain dari isteri yang sah. Cuba lah buat tinjauan rambang di pejabat. Risik-risik lah pada rakan sebelah meja, staff mana yang ada 'girlfriend' atau bos mana yang ada 'mistress'. Mengejutkan, di institusi agama pun, jawapannya, "ada". Fitrah ini berbeza dengan perempuan yang hanya mencintai seorang lelaki dalam satu-satu masa. Kalau wanita itu mencintai lelaki lain, kebanyakannya berpunca daripada perasaan mahu membalas dendam di atas kecurangan atau kejahatan suami. Jarang sekali kita mendengar kes perempuan yang mempunyai suami baik, tiba-tiba jatuh cinta pada lelaki lain. Jarang... Kalau ada pun, hanya satu dua kes terpencil. Namun, lelaki boleh jatuh cinta beribu kali dengan mudah tanpa sebab dan alasan. Ini hakikat.

Pun begitu, demi membela wanita, Nabi Muhammad menghadkan poligami kepada empat sahaja. Pada zaman sebelum beliau, lelaki berkahwin lebih dari empat, malah ada yang sampai beratus-ratus! Sebagai contoh, pada zaman Fir’aun. Syarat lain, lelaki perlu bersikap adil kepada empat-empat isteri itu. Ini juga satu pembelaan kerana sebelum kedatangan Muhammad, tiada siapa yang pernah menyuruh lelaki berlaku adil kepada perempuan-perempuan yang dikahwini.

Nabi Muhammad memperbetulkan semula perspektif lelaki yang menganggap wanita sebagai makhluk ‘jahat’. Perspektif ini berasal dari tradisi kuno yang melabel wanita sebagai ‘pandora’. Selain itu, lelaki waktu itu turut terpengaruh dengan persepsi agama Nasrani (sekarang Kristian) yang membenci wanita kerana kesalahan Hawa, isteri nabi Adam. Hawa dikatakan terlebih dahulu tergoda dengan Iblis lalu memujuk suaminya memakan buah larangan itu. Sudahnya, menurut perspektif Kristian, keturunan Adam perlu menanggung dosa itu (the original sin) sehingga hari ini.

Beratus tahun selepas kematian nabi Muhammad, ajaran Islam mula menyimpang dari asal. Berlaku banyak penyelewengan di sana sini termasuk dalam soal perempuan. Sekarang, sekiranya seorang perempuan Islam mengalami diskriminasi, mereka tidak harus menyalahkan Islam. Sebaliknya perlu menyalahkan amalan yang tidak selaras dengan ajaran sebenar nabi Muhammad.

Justeru, slogan yang tepat untuk mewakili suara Muslimah abad ke-21 adalah “wanita menentang budaya", bukan “wanita menentang hukum”. Kalau kalian mahu menentang poligami, tentang lah cara pengamalannya oleh lelaki, bukan menentang hukum itu sendiri.

No comments: