Sunday, April 6, 2008

THE OLDEST FEMINIST IN MALAYSIA

Ini sekadar cerita santai. Bukan niat untuk memperkecilkan sesiapa.

Semasa menulis entri sebelum ini, tiba-tiba saya terkenang seorang aktivis perempuan yang cukup terkenal dan saya hormati perjuangannya. Ketika bertugas di Meja Wanita Berita Harian, editor saya waktu itu menggelarnya, ‘the oldest feminist in Malaysia’. Ketika pulang dari Persidangan Wanita Ke-empat di Beijing pada 1995, dia membentangkan hasil persidangan itu di depan sekumpulan aktivis lain. Pembentangannya begitu bersemangat. Dia berucap berpandukan fakta yang dipancarkan melalui over-head projector . Entah apa nasib, sedang semangat membara-bara bagaikan api, alat itu pula terpadam! Mungkin kerana panas akibat dia terlupa hendak memadamkannya ketika tidak diperlukan. Terlalu bersemangat sehingga terlupa? Malang kerana ia terpadam ketika dia mahu menunjukkan fakta penting. Dia terkedu seketika. Khalayak turut terkedu. Selepas itu, dia terkial-kial hendak menghidupkannya. Khalayak ternanti-nanti. Semangat yang membara tadi menjunam jatuh. Saya merungut dalam hati, “Profesor ini betul-betul anti-klimaks. Orang tengah semangat, dia pulak buat hal dengan benda alah tu.” Tidak lama selepas itu, beberapa orang tampil membantunya lalu hidup lah semula alat itu. Semua orang lega namun semangat tidak lagi seperti tadi. Dia juga sudah lupa ayat terakhir yang diucapkannya dengan berapi-api tadi. “Ah, memang betul kita orang perempuan ni lemah dalam bab teknikal,” akuinya dengan nada agak kesal.

No comments: