Sunday, April 6, 2008

PERJUANGAN YANG GAGAL

Feminisme adalah satu daripada banyak ‘isme’ yang lahir dalam tamadun barat sekular. ‘Isme’ ini kemudian menular ke Timur termasuk ke negara-negara Islam. Kebanyakan daripada ‘isme-isme’ itu adalah merbahaya. Ia bertujuan merosakkan pemikiran dan terkeluar dari fitrah manusia.

Feminisme, setelah seratus tahun kewujudannya, semakin menunjukkan kecelaruan dan kesilapan. Di peringkat global, ada usaha untuk menentang institusi perkahwinan di sekitar awal abad ke-20. Alasannya, perkahwinan mengongkong wanita. Apa pun, usaha ini gagal kerana perempuan mendapati institusi itu sebenarnya dapat membela mereka. Melalui perkahwinan yang sah, perempuan mendapat hak-hak tertentu terutama sekali harta setelah kematian suami atau bercerai. Ini lebih baik daripada nasib ‘girlfriend’ atau ‘mistress’ yang tidak mendapat apa-apa kalau berlaku apa-apa pada pasangan mereka. Institusi perkahwinan adalah fitrah buat semua manusia normal. Tindakan feminis barat sekular menyelar institusi perkahwinan kerana dianggap sebagai menindas wanita adalah sama seperti “marahkan nyamuk kelambu dibakar.” Bukan institusi perkahwinan yang bermasalah tetapi sikap, tindak tanduk serta pemikiran orang berkahwin yang perlu diperbetulkan.

Isu lain yang turut diperjuangkan ialah trial marriage (perkahwinan percubaan), berkahwin dengan pasangan sejenis, mengambil anak angkat, hamil melalui ‘bank mani’ dan identiti lelaki pemilik mani tidak perlu diketahui, mengandungkan anak orang lain untuk mendapat upah (melalui proses ibu tumpang), memilih jantina anak dan menggugurkan kandungan. Apa pun, semua idea itu gagal memasuki ruang arus perdana kerana berlawanan dengan fitrah manusia. Apa jua yang berlawanan dengan fitrah pasti menimbulkan masalah dan akhirnya tidak diterima oleh mana-mana manusia normal baik di timur mahupun di barat.

Dalam abad ke-21 ini, perjuangan feminisme semakin kehilangan arah. Suruhanjaya Status Wanita di PBB sendiri mengakui bahawa kedudukan wanita bukan bertambah baik, malah makin menjunam ke bawah. Ini berpunca daripada peperangan yang tercetus selepas 11 September 2001.

Pada abad ini, antara krisis yang mengancam wanita adalah :

• Globalisasi, model ekonomi neo-liberal dan polisi berasaskan pasaran yang menggalakkan perdagangan tidak adil dan penswastaan perkhidmatan awam;

• Peningkatan kuasa dan ketidaktelusan syarikat korporat multinasional;

• Kemunculan pelbagai bentuk penjajahan dan konflik ketenteraan; ekstrimisme; patriaki, diskriminasi dan penerusan semua bentuk keganasan terhadap wanita.

Ancaman ini gagal ditangani oleh feminis sekalipun jumlah mereka ramai. Suara Suruhanjaya Status Wanita PBB pula sekarang ini sudah tidak lagi kedengaran. Mereka seolah-olah ‘hilang’ begitu sahaja. Sejak tahun 1970-an, suruhanjaya berkenaan menganjurkan Persidangan Wanita Sedunia setiap lima tahun. Bermula dengan persidangan pertama di Mexico pada 1975 hingga ke persidangan keempat di Beijing pada 1995. Persidangan di Beijing yang dihadiri oleh 47,000 peserta dari 189 negara itu menghasilkan Deklarasi Beijing dan dianggap sebagai dokumen paling lengkap dalam memperjuangkan agenda wanita secara keseluruhannya. Pelan Bertindak Beijing yang menumpukan kepada 12 perkara penting untuk meningkatkan taraf wanita juga dirangka dengan teliti dan terperinci. Namun, ramai yang terpaksa akur pada hakikat bahawa pelan bertindak itu gagal dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan yang menerimanya.

Sekarang, suruhanjaya berkenaan bagaikan menyepi diri. Jelas bahawa perjuangan tajaan PBB itu adalah sebuah perjuangan yang gagal. Lalu apa harapan wanita secara global untuk melihat dunia yang lebih baik untuk kita?

No comments: