Sunday, April 6, 2008

LELAKI MEMPERKASA PEREMPUAN

Islam memberi hak-hak yang cukup lumayan untuk perempuan. Malang sekali, ada waktu-waktunya, hak ini tidak dilaksanakan kerana amalan budaya yang tidak Islamik. Atas dasar itu lah, perempuan perlu terus bersuara dalam acuan yang Islamik.

Bagaimanapun, perempuan di Malaysia agak bernasib baik berbanding rakan-rakan di Timur Tengah. Ramai aktivis veteren mengakui hakikat ini. Di rantau Nusantara, penentangan terhadap budaya tidak Islamik ini sebenarnya dipelopori oleh ulama lelaki sekitar awal abad ke-20. Di kalangan mereka, Syed Sheikh al Hadi paling dikenali kerana menulis novel Hikayat Faridah Hanum.

Hasil perjuangan ulama lelaki, pada tahun 1940-an, kadar murid lelaki dan murid perempuan di sekolah rendah mencecah 50-50. Fakta ini agak memeranjatkan saya pada mulanya. Tidak sangka seawal itu murid perempuan sudah berjaya menyamai murid lelaki. Kemudian, pada tahun 50-an, perempuan membanjiri sektor pekerjaan sebagai guru, jururawat, kerani dan ahli politik. Melalui politik, mereka aktif dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Selepas merdeka, perempuan semakin memasuki ruang-ruang awam terutama institusi pendidikan dan perindustrian.

Atas dasar itu, perjuangan untuk memperkasa perempuan (women empowerment) adalah bertitik tolak dari lelaki itu sendiri. Kita wajar berterima kasih kepada ulama lelaki yang mengerti.

No comments: