Monday, June 30, 2008

Tentang Wanita Bekerja

Sempena Hari Wanita Kebangsaan pada Ogos ini, saya menulis satu artikel panjang bertajuk

From Liberation to Leadership atau Kembali Kepada Fitrah : Mana Satu Pilihan Wanita?

Ia akan tersiar di majalah Aniqah. Antara saranan dalam artikel itu ialah tentang perlunya sistem sokongan untuk wanita bekerja. Ini bermaksud :

- Kewajipan suami menolong isteri dalam kerja rutin rumahtangga.
- Tanggungjawab majikan untuk menyediakan persekitaran kerja mesra wanita.

Kemudian, editornya Khairana Pilus memulangkan rencana itu dengan beberapa komen dari Datuk Jamaludin Mansor, pemilik majalah Aniqah. Banyak soalan kritis yang beliau kemukakan. Antaranya seperti :

- Adakah menjadi kewajipan ke atas suami untuk melakukan kerja rutin domestik?
- Adakah Khadijah berhenti menjadi businesswomen selepas mendapat anak?
- Adakah Aishah menumpukan kepada kerjaya sebagai seorang ilmuan dan tidak melakukan kerja rutin rumahtangga?
- Kenapakah majikan perlu dibebankan dengan tanggungjawab menyediakan persekitaran mesra wanita?
- Sejak bilakah wanita mula meninggalkan kerjaya tidak formal di sektor perladangan dan memasuki kerjaya formal di sektor perindustrian?
- Adakah ayat al-Quran, hadis atau ijma' ulama yang mewajibkan wanita bekerja untuk mencari nafkah hidup?

Saya cukup tersentuh dengan soalannya yang terakhir. Adakah wanita wajib mencari nafkah? Saya pun menjawab begini :

Al-Quran menetapkan tanggungjawab mencari nafkah hanya kepada lelaki. Bagaimanapun, ulama membenarkan wanita bekerja dengan menjadikan isteri-isteri nabi sebagai rujukan. Khadijah seorang ahli perniagaan. Aishah seorang ilmuan. Bagaimanapun, penglibatan Khadijah dan Aishah adalah atas dasar memperjuangkan agama. Justeru, ulama merumuskan bahawa wanita Islam boleh bekerja asalkan dengan niat untuk menyumbang kepada kesejahteraan ummah. Meningkatkan ekonomi keluarga adalah salah satu sumbangan kepada ummah. Bagaimanapun, ulama meletakkan banyak syarat untuk wanita bekerja. Satu daripadanya ialah tidak mengabaikan anak-anak yang sedang membesar.

Jawapan saya berhenti setakat itu. Namun, persoalan tentangnya terus berligar-ligar dalam kepala saya sampai hari ini. Adakah wanita sekarang bekerja dengan niat kerana kesejahteraan ummah? Atau kerana mahukan kereta dan rumah lebih besar daripada jiran sebelah? Atau kerana pengiktirafan manusia terhadap profesyen di luar rumah? Dan adakah anak-anak sekarang 'sejahtera' di tangan pembantu rumah?

Jawapannya ada pada wanita sendiri.

Anti-feminisme...iktiraf falsafah gender dalam Islam

Anti-feminism dalam blog ini bukan lah gerakan anti-feminism dari barat. Apa lagi gerakan anti-feminism oleh agama Kristian. Anti-feminism dalam blog ini bermaksud tidak bersetuju dengan gerakan memperkasa wanita yang seolah-olah mahu bersaing dengan lelaki. Bersaing dengan lelaki boleh dilihat dari segi keinginan untuk mengatasi lelaki dalam segala segi. Atau sekurang-kurangnya melakukan apa yang lelaki lakukan sekalipun ia tidak sesuai dengan fitrah wanita.

Blog ini turut menentang penglibatan wanita dalam profesyen luar rumah sekiranya ia nyata sekali mengancam usaha pembentukan generasi muda (anak-anak). Akhir sekali, blog ini mahu mempromosi 'kepulangan' kaum perempuan ke ruang lingkup domestik (rumahtangga) jika usaha pembentukan generasi berada pada tahap kritikal. Dalam konteks ini ia membawa slogan 'kembali kepada fitrah' atau 'back to nature'.

Atas dasar itu lah, jangan terkejut kalau blog ini membincangkan isu yang kedengaran seperti 'outdated', 'mundur' atau 'ketinggalan' buat seseorang wanita. Contohnya, menyusu anak dengan susu ibu, memasak untuk anak-anak atau berhenti kerja.

Secara ringkas, blog ini bertujuan untuk memperkasa lelaki, wanita, remaja dan kanak-kanak. Ini bermakna baik lelaki atau perempuan, kanak-kanak atau remaja, semuanya perlu diperkasakan secara serentak. Tidak wajar kalau kita hanya menumpukan kepada usaha memperkasa wanita semata-mata. Keadaan ini akan menghasilkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat. Apa akan jadi sekiranya wanita begitu perkasa sedangkan lelaki, remaja dan kanak-kanak tidak perkasa?

Jadi, blog ini tidak bersetuju dengan perang gender atau persaingan gender. Falsafah gender dalam blog ini selaras dengan falsafah gender dalam Islam. Bagi Allah, kedudukan lelaki dan perempuan adalah sama - tidak ada satu pihak yang lebih, tidak ada satu pihak yang kurang. Apa yang menjadi ukuran - samada lebih atau kurang - adalah takwa. Taraf wanita akan lebih sekiranya dia bertakwa. Taraf lelaki akan kurang sekiranya dia tidak bertakwa. Bagaimanapun, dalam masyarakat, Allah membezakan lelaki dan perempuan dengan fungsi dan tanggungjawab yang berbeza. Fungsi dan tanggungjawab itu tentunya bersesuaian dengan fitrah - keadaan atau ciptaan semulajadi setiap gender. Dalam masyarakat, Allah meletakkan fungsi dan tanggungjawab lelaki lebih berat dan mencabar. Sedangkan fungsi dan tanggungjawab wanita lebih ringan.

Apa pun, gerakan feminisme mahu menukarkan keadaan ini. Ia mahukan perempuan memikul fungsi dan tanggungjawab yang sama atau lebih daripada lelaki. Ia mencabar wanita agar memainkan peranan yang setanding atau melebihi lelaki dalam apa jua pekerjaan, perjuangan, amal ibadat dan sebagainya. Keadaan ini tentulah berlawanan dengan apa yang Allah mahukan.

Atas dasar itu lah, blog ini konsisten dalam usaha menentang feminisme samada feminisme sekular mahupun feminisme Islamik.