Monday, May 12, 2008

CORETAN HARI IBU III- THE TROJAN HORSE

Di taman, Maisarah bermain dengan gembira. Saya berasa berdosa kerana jarang membawanya ke taman. Dalam usia dua tahun, dia perlu didedahkan kepada aktiviti melompat, bergayut, meniti, mengelongsor, merangkak dan sebagainya. Dia perlu merasa tanah dengan tapak kaki. Perlu menghidu bau tanah dan menghirup udara di sekelilingnya. Matanya perlu mengekori semua objek yang bergerak secara nyata di depannya. Jari-jarinya perlu menyentuh apa sahaja objek yang selamat. Telinganya perlu mendengar bunyi-bunyian secara live. Pendekata, dia perlu menerokai segala-galanya menggunakan kelima-lima pancainderanya. Cara ini dapat merangsang otak kiri dan otak kanan yang sedang berkembang pesat pada usia ini.

Semua keperluan yang disebutkan di atas sangat penting untuk membuatkan corpus collusom iaitu tiub penghubung antara otak kanan dan otak kiri menjadi lebih anjal. Tiub yang anjal dapat menjamin koordinasi yang baik antara otak kiri dan otak kanan. Koordinasi yang baik berupaya melahirkan manusia yang berfikir secara logik dan kreatif. Ini lah rahsia kejayaan manusia. Fakta ini disahkan melalui kajian saintifik. Malah amalan dalam agama , solat contohnya, dapat merangsang otak kiri manakala zikir contohnya, dapat merangsang otak kanan. Ini bermakna otak kanan dan otak kiri sama pentingnya. Manusia perlu menggunakan kedua-dua belah otak untuk berjaya dalam hidup.

Fakta ini lah yang membuatkan saya rasa agak berdosa. Selama ini, anak-anak lebih terdedah kepada TV berbanding aktiviti fizikal di taman, berbasikal, memasak, menjahit, melukis dan sebagainya. Visual TV hanya merangsang otak kanan tetapi mematikan otak kiri. Kesannya, corpus collusom menjadi statik dan gagal membuat koordinasi yang baik antara otak kanan dan otak kiri. Menonton TV juga membabitkan dua pancaindera sahaja - melihat dan mendengar. Itu pun mendengar audio dan melihat visual yang kurang berkualiti kerana terpaksa melalui perantara (medium) elektronik. Selain itu, ia tidak mengeluarkan peluh. Sebaliknya, TV merangsang selera untuk makan junk food melalui iklan komersil. Hasilnya, otak pun jadi junk! (meminjam kata-kata Ladin Nuawi) Tidak cukup dengan itu, isi kandungan televisyen juga banyak yang meracuni pemikiran dan merosakan peribadi anak-anak. Aktivis Islam Amerika Syarikat Hamzah Yusuf menggelar TV sebagai Trojan Horse di dalam rumah kita.

Jadi, macam biasa, di Hari Ibu, saya pun bertanya soalan lazim, “Adakah hari ini aku berjaya menguasai remote control dari tangan mereka?”

No comments: