Monday, May 12, 2008

CORETAN HARI IBU II- QUALITY TIME

Saya tidak begitu memikirkan tentang sambutan – kek, hadiah, makanan istimewa atau semua ahli keluarga berkumpul. Bagi saya cukup sekadar ucapan lisan atau sms. Sementara itu, saya lebih banyak bertanya diri, “adakah aku sudah menjadi ibu yang baik kepada anak-anakku?” dan “adakah aku sudah menjadi anak yang baik kepada ibuku?”. Jawapannya, tentu sekali tidak! Masih banyak ruang untuk memperbaiki diri dalam soal ini. Satu daripada cabarannya, kesibukan kerjaya.

“There’s no quality time,” detik hati saya ketika membawa Ehsan dan adiknya, Maisarah, ke taman permainan setelah selesai menulis episod contoh sepanjang 45 minit. “Hari ini Hari Ibu. Saya perlu bersama mereka, bukan bersama komputer,” fikir saya sambil menyorong kereta sorong Maisarah. Dua anak jiran turut mengekori saya. Lupa pula hendak bertanya kenapa ibu mereka enggan turut serta.

Quality Time hanya satu mitos atau sekurang-kurangnya, satu alasan. Ia adalah rekaan pihak tertentu untuk para ibu yang sibuk dengan kerjaya tetapi berasa bersalah kerana membiarkan anak membesar dengan tangan orang lain. Hakikatnya, seorang ibu memerlukan masa yang banyak (kuantiti) untuk membentuk keperibadian anak secara maksimum. Fakta ini diakui oleh ramai wanita yang berjaya dalam kerjaya. Di atas kertas, mereka berkata mereka memberikan ‘quality time’ kepada anak-anak. Hakikatnya, (off the record please!) mereka sendiri tidak tahu apa itu ‘quality time’. Anak-anak mereka pun bukannya ‘menjadi’ sangat. (Again off the record please!)

Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak perlukan ‘quantity time’, bukan ‘quality time’. Apabila kerap bersama anak-anak, mereka pun berada di landasan yang betul. Bila kurang bersama mereka, mereka pun terpelanting. Bila saya sedar, saya pun terkial-kial menarik mereka kembali ke landasan yang sepatutnya. Ada kala mudah ditarik. Ada kala susah. Keadaan ini sungguh merisaukan. Teringat kata seorang ustaz, kalau anak-anak tercicir di lebuhraya, kita boleh buat U-turn. Tapi kalau anak-anak tercicir dari proses didikan yang sempurna, tiada U-turn lagi buat kita. Deadline bagi saya makin hampir. Saya hanya ada tujuh tahun saja lagi untuk mendidik Syafiqah sebelum dia berusia 18 tahun.

Apa-apa pun, jangan percaya pada Quality Time. Ia hanya mitos.

No comments: