Monday, May 12, 2008

CORETAN HARI IBU I - CARBON COPY

Semalam Hari Ibu. Tapi saya tidak sempat mencoretkan apa-apa kerana sibuk menulis episod contoh (pilot) untuk Astro. Hari Ibu pun terpaksa bekerja. Apa nak buat, kerjaya dalam dunia televisyen, deadlinenya tidak tentu masa. Pada Hari Ibu 2004, saya pernah ditegur oleh jiran kerana mengadap komputer. “Hari ini Hari Ibu kan...” Waktu itu saya sedang menulis skrip berjudul “2 Jiwa 1 Hati” untuk slot Cerekarama TV3.

Tahun ini tiada sambutan. Anak sulung, Syafiqah, sibuk berlatih teater di Persatuan Anjung Seni Bingkas Kebayan di bawah bimbingan aktivis teater, Ladin Nuawi. Biasanya dia yang selalu mengajak adik-adik ke kedai runcit dekat rumah dan membeli hadiah untuk saya. Mereka lakukannya secara sorok-sorok. Saya pula buat-buat tidak nampak perbuatan mereka itu. Duit untuk membei hadiah, mereka ambil dari duit kumpul dalam tabung masing-masing. Hadiah mereka selalunya yang berkaitan dengan kerjaya saya - pen, buku nota, klip kertas, pensil, pemadam dan sebagainya. Mereka sekadar membalutnya dengan kertas A4 putih yang diambil dari laci saya. Dalam sambutan Hari Ibu yang lepas, anak kedua, Ehsan, mahu membeli staples dengan alasan dia selalu melihat saya menggunakannya. Mujur kakaknya menghalang hasrat itu dengan alasan dia melihat staples masih banyak dalam laci saya.

Cerita mereka itu membuatkan saya terfikir sesuatu. Anak-anak memang sentiasa melihat dan memerhati apa yang ibu bapa lakukan. Di saat kita memerhati mereka, mereka pun sebenarnya sedang memerhati kita. Ini hakikat. Jadi, apa jua perbuatan kita, pasti akan diikuti oleh mereka. Atas dasar itu lah kita tidak boleh memarahi mereka di atas perbuatan mereka yang tidak kita senangi. Mereka mungkin meniru dari kita!

Sebagai rumusan, anak-anak adalah carbon copy kita.

CORETAN HARI IBU II- QUALITY TIME

Saya tidak begitu memikirkan tentang sambutan – kek, hadiah, makanan istimewa atau semua ahli keluarga berkumpul. Bagi saya cukup sekadar ucapan lisan atau sms. Sementara itu, saya lebih banyak bertanya diri, “adakah aku sudah menjadi ibu yang baik kepada anak-anakku?” dan “adakah aku sudah menjadi anak yang baik kepada ibuku?”. Jawapannya, tentu sekali tidak! Masih banyak ruang untuk memperbaiki diri dalam soal ini. Satu daripada cabarannya, kesibukan kerjaya.

“There’s no quality time,” detik hati saya ketika membawa Ehsan dan adiknya, Maisarah, ke taman permainan setelah selesai menulis episod contoh sepanjang 45 minit. “Hari ini Hari Ibu. Saya perlu bersama mereka, bukan bersama komputer,” fikir saya sambil menyorong kereta sorong Maisarah. Dua anak jiran turut mengekori saya. Lupa pula hendak bertanya kenapa ibu mereka enggan turut serta.

Quality Time hanya satu mitos atau sekurang-kurangnya, satu alasan. Ia adalah rekaan pihak tertentu untuk para ibu yang sibuk dengan kerjaya tetapi berasa bersalah kerana membiarkan anak membesar dengan tangan orang lain. Hakikatnya, seorang ibu memerlukan masa yang banyak (kuantiti) untuk membentuk keperibadian anak secara maksimum. Fakta ini diakui oleh ramai wanita yang berjaya dalam kerjaya. Di atas kertas, mereka berkata mereka memberikan ‘quality time’ kepada anak-anak. Hakikatnya, (off the record please!) mereka sendiri tidak tahu apa itu ‘quality time’. Anak-anak mereka pun bukannya ‘menjadi’ sangat. (Again off the record please!)

Berdasarkan pengalaman saya, anak-anak perlukan ‘quantity time’, bukan ‘quality time’. Apabila kerap bersama anak-anak, mereka pun berada di landasan yang betul. Bila kurang bersama mereka, mereka pun terpelanting. Bila saya sedar, saya pun terkial-kial menarik mereka kembali ke landasan yang sepatutnya. Ada kala mudah ditarik. Ada kala susah. Keadaan ini sungguh merisaukan. Teringat kata seorang ustaz, kalau anak-anak tercicir di lebuhraya, kita boleh buat U-turn. Tapi kalau anak-anak tercicir dari proses didikan yang sempurna, tiada U-turn lagi buat kita. Deadline bagi saya makin hampir. Saya hanya ada tujuh tahun saja lagi untuk mendidik Syafiqah sebelum dia berusia 18 tahun.

Apa-apa pun, jangan percaya pada Quality Time. Ia hanya mitos.

CORETAN HARI IBU III- THE TROJAN HORSE

Di taman, Maisarah bermain dengan gembira. Saya berasa berdosa kerana jarang membawanya ke taman. Dalam usia dua tahun, dia perlu didedahkan kepada aktiviti melompat, bergayut, meniti, mengelongsor, merangkak dan sebagainya. Dia perlu merasa tanah dengan tapak kaki. Perlu menghidu bau tanah dan menghirup udara di sekelilingnya. Matanya perlu mengekori semua objek yang bergerak secara nyata di depannya. Jari-jarinya perlu menyentuh apa sahaja objek yang selamat. Telinganya perlu mendengar bunyi-bunyian secara live. Pendekata, dia perlu menerokai segala-galanya menggunakan kelima-lima pancainderanya. Cara ini dapat merangsang otak kiri dan otak kanan yang sedang berkembang pesat pada usia ini.

Semua keperluan yang disebutkan di atas sangat penting untuk membuatkan corpus collusom iaitu tiub penghubung antara otak kanan dan otak kiri menjadi lebih anjal. Tiub yang anjal dapat menjamin koordinasi yang baik antara otak kiri dan otak kanan. Koordinasi yang baik berupaya melahirkan manusia yang berfikir secara logik dan kreatif. Ini lah rahsia kejayaan manusia. Fakta ini disahkan melalui kajian saintifik. Malah amalan dalam agama , solat contohnya, dapat merangsang otak kiri manakala zikir contohnya, dapat merangsang otak kanan. Ini bermakna otak kanan dan otak kiri sama pentingnya. Manusia perlu menggunakan kedua-dua belah otak untuk berjaya dalam hidup.

Fakta ini lah yang membuatkan saya rasa agak berdosa. Selama ini, anak-anak lebih terdedah kepada TV berbanding aktiviti fizikal di taman, berbasikal, memasak, menjahit, melukis dan sebagainya. Visual TV hanya merangsang otak kanan tetapi mematikan otak kiri. Kesannya, corpus collusom menjadi statik dan gagal membuat koordinasi yang baik antara otak kanan dan otak kiri. Menonton TV juga membabitkan dua pancaindera sahaja - melihat dan mendengar. Itu pun mendengar audio dan melihat visual yang kurang berkualiti kerana terpaksa melalui perantara (medium) elektronik. Selain itu, ia tidak mengeluarkan peluh. Sebaliknya, TV merangsang selera untuk makan junk food melalui iklan komersil. Hasilnya, otak pun jadi junk! (meminjam kata-kata Ladin Nuawi) Tidak cukup dengan itu, isi kandungan televisyen juga banyak yang meracuni pemikiran dan merosakan peribadi anak-anak. Aktivis Islam Amerika Syarikat Hamzah Yusuf menggelar TV sebagai Trojan Horse di dalam rumah kita.

Jadi, macam biasa, di Hari Ibu, saya pun bertanya soalan lazim, “Adakah hari ini aku berjaya menguasai remote control dari tangan mereka?”

CORETAN HARI IBU IV-WAKIL TUHAN

“Untuk menjadi ibu, memang mudah. Tetapi untuk menjadi ibu kepada khalifah kecil, ini yang susah.”

Kenapa pula susah?

Khalifah bermaksud ‘wakil’ Tuhan di muka bumi. Menjadi ‘wakil’ Tuhan bermakna melakukan apa sahaja perkara yang dapat memberi manafaat kepada diri sendiri, bumi, kehidupan di atas muka bumi, manusia lain dan makhluk lain seperti binatang, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Menjadi wakil Tuhan juga bermaksud meninggalkan apa sahaja perkara yang memudaratkan diri sendiri, bumi, kehidupan dan makhluk lain di atas muka bumi.

Justeru, khalifah kecil bukan sekadar rajin bersembahyang, menghafal surah lazim, asmaul husna dan doa-doa harian. Khalifah kecil mesti melakukan lebih dari itu. Mereka perlu mempastikan bahawa mereka mempunyai badan yang sihat dan otak yang cergas. Bukan sekadar tahu bersolat dan berdoa kepada Allah semata-mata.

Maknanya mereka perlu rajin belajar (bukan untuk lulus periksa sahaja!); menyiapkan kerja sekolah seawal mungkin; sentiasa tiba awal di satu-satu tempat dan besiap sedia; menjaga diri, pakaian dan bilik agar sentiasa bersih; menolong ibu bapa dalam kerja rutin rumah tangga; tidak memakan junk food yang memudaratkan kesihatan; kurang menonton televisyen; terlibat dalam aktiviti fizikal dan berkumpulan yang menyihatkan; berjimat cermat dengan wang saku; rajin menabung; tidak membazir masa, duit atau api air; menolong sesiapa sahaja (termasuk binatang) yang sedang kesusahan; menghormati orang tua; bercakap dengan nada lembut bersopan; tidak membuang sampah merata-rata, recycle, rajin bersedekah dan banyaaaakkkk lagi....

Jadi, apa yang susahnya hendak melakukan perkara tersenarai di atas?

Susah kerana kehidupan sekarang banyak dipengaruhi oleh TV. Pakar Pediatrik, Susan R Johnson menyelar TV sebagai Strangers in Our Homes. Ia mendidik anak-anak untuk melayan keseronokan dan pentingkan diri sendiri semata-mata. Disney, cartoon network, ceria, nickeledon dan macam-macam lagi.

Selain TV yang mampu membantutkan perkembangan minda anak-anak dan membuatkan anak-anak jadi malas, makanan segera berproses tinggi (highly processed junk food) juga satu cabaran. Nugget, frankfurters, fun fries, burger, pepsi dan coke juga melemahkan otak, menjadikan kanak-kanak lasak melampau dan gemuk melampau (obes). Kajian di Amerika Syarikat membuktikan bahawa menghentikan McDonald selama dua minggu di kalangan kanak-kanak yang makan MacDonald setiap hari , mampu mengurangkan tahap hyperaktif. Restoren makanan segera juga mengamalkan polisi berjimat-cermat iaitu re-cycle minyak untuk menggoreng! Bayangkan berapa banyak garam yang masuk dalam tubuh anak-anak kita melalui sebungkus kecil fun-fries?

Hendak tahu apa lagi dosa junk food? Ada dakwaan mengatakan duit hasil jualan hamburger digunakan untuk membeli peluru untuk digunakan di Palestin. Mungkin ada benarnya kerana Amerika Syarikat memang mendapat duit melalui hasil eksport produk seperti Disney, coffee culture (starbucks dan rakan-rakan seangkatan) dan hamburger.

TV dan junk food hanya dua contoh ‘musuh dalam selimut’ di dalam rumah kita. Ada baaanyaaakkk lagi musuh dalam selimut sebenarnya.... (Oh ya.... diri kita sendiri pun kadang-kadang boleh juga menjadi musuh...)

Jadi, memang bukan mudah kan?